NOVEMBER 2022

Hadiahkan Mandat Besar Kepada GPS 19 Nov Ini


DARO: Rakyat negeri ini harus bersatu dengan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mandat itu penting bagi GPS di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari meneruskan perjuangan termasuk tuntutan hak Sarawak.

"Selain tuntutan ke atas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), rakyat Sarawak berhak mendapat kesamarataan dalam kemudahan, pendidikan, kemahiran profesionalisme dan banyak lagi perkara," katanya pada Majlis Perasmian Menaik Taraf Sistem Bekalan Air Daro, hari ini.

Hadir sama calon GPS Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad memberitahu, sebanyak 11 projek dianggarkan bernilai RM340 juta dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak bakal menyelesaikan masalah bekalan air di daerah Daro.

"Ini bagi menaik taraf infrastruktur dan juga sistem bekalan air. Kerajaan kita sangat prihatin kerana membelanjakan peruntukan yang besar bagi kemudahan rakyat di Daro ini," ujarnya.

Katanya, tiga projek rakyat yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dianggarkan bernilai RM13.8 juta telah siap. Ia berjaya menangani beberapa isu bekalan air di beberapa kawasan di sini.

"Empat projek dianggarkan bernilai RM39 juta masih dalam peringkat pembinaan dan menunjukkan prestasi kerja memberangsangkan walaupun sebelum ini menghadapi cabaran pelaksanaan berikutan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti